harum selalu doamu bunda
menjalari segenap urat dan darahku
segaris senyummu selalu menyimpan duka
tersisip kemas setiap titis airmata
matamu selalu enggan bercerita
... segala duka yang berkisah
kau telan dalam buakan tabah
bagaimana harus aku maknakan dengan seindah kalimah
apa yang telah kau korbankan demi anak-anakmu
engkau selalu mempamir hebat diri
walau pedih selalu menjamah hati
kau telan segala ceritera lara
dalam bisik rahsia beburung kecil
yang bersinggah di hujung senja usia
dalam syair pilu yang tak ternukil
aku lelah menjejak hibamu
yang kau simpan kemas di relung kalbu
dalam nafas-nafas sisa kasih yang masih ada
kau ukir jua senyum menyimpul luka
engkau masih begitu
mempamir hebat diri
di sela-sela lemas
dalam airmata sendiri
bunda
aku hirup kasihmu
dalam makna yang aku sendiri tidak tahu
semuga sahaja Dia
menyelimutimu dalam harum anbar syurgawi
dalam bahagia makna hakiki.
No comments:
Post a Comment